“Potong kaki minum air ni!” seloroh Cik Mat pada kawannya. Dialog ini selalu kita dengar di warung, tentang manisnya suatu minuman sehingga dikaitkan dengan ‘potong kaki’ yang dikiaskan sebagai penyakit kencing manis ini.
Kenapa ‘potong kaki’ dikaitkan dengan kencing manis? Sebab, di saat kritikal diabetes, kebiasaan untuk mendapat risiko potong kaki sangat tinggi. Kencing manis, ada 3 jenis yang utama selalu dihidapi rakyat Malaysia.
Penyakit ini berlaku apabila tubuh tidak lagi mampu untuk menjalankan fungsi insulin secara normal, dan paras gula di dalam darah adalah sangat tinggi berbanding di dalam sel badan. Antara punca yang selalu dikaitkan dengan diabetes atau kencing manis ini ialah makanan manis dan keturunan. Namun, terdapat juga punca lain yang dikenalpasti sebagai punca seseorang mudah mendapat sakit kencing manis ini.
Malaysia mempunyai statistik pesakit kencing manis tertinggi di Asia! Malah, antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi. -Dato’ Dr Mustaffa Embong, Eksekutif Pengerusi Institut Diabetes Kebangsaan (NADI)
3 JENIS KENCING MANIS UTAMA
1. Kencing Manis Diabetes Jenis 1
Type 1 Diabetes atau kencing manis jenis 1 ini berlaku apabila sistem imun badan seseorang yang sepatutnya melawan jangkitan telah menyerang sel badan yang digunakan untuk menghasilkan insulin. Kebanyakan kajian menyatakan, antara punca utama seseorang mudah mendapat kencing manis jenis 1 ini ialah akibat dari keturunan dan faktor persekitaran seperti virus yang menyebabkan punca sesuatu penyakit.
Mereka yang mendapat kencing manis jenis 1 ini, mempunyai kadar insulin yang sedikit atau hampir tiada di dalam badan. Hal ini menyebabkan mereka akan bergantung kepada insulin dari luar.
Secara kesimpulan, seseorang dengan kencing manis jenis ini, berada di tahap serius, dan akan di beri suntikan insulin bagi membantu proses regulasi badan berjalan secara normal.
2. Kencing Manis Jenis 2
Kebanyakan individu dengan Type 2 Diabetes, kencing manis jenis 2 ini, tidak sedar bahawa mereka sedang dapat penyakit ini. Secara asasnya, kencing manis jenis 2 ini, masih belum bergantung dengan insulin yang di cucuk seperti di tahap 1.
Ini adalah jenis kencing manis yang biasa, yang juga nama lainnya ialah diabetes mellitus. Antara punca penyebabnya ialah, termasuklah gaya hidup, umur, persekitaran dan juga keturunan. Tidak terlepas, berat badan berlebihan (overweight) juga memainkan peranan dalam seseorang mudah mendapat penyakit ini. Kenalpasti body mass index (BMI) anda di sini, bagi mengetahui sama ada adakah anda tergolong dalam risiko yang mudah mendapat kencing manis atau tidak.
3. Kencing Manis Ketika Hamil (Gestasi/Gestational Diabetes)
Kencing manis waktu hamil semestinya selalu menyerang para ibu yang sedang hamil dan ini amat membahayakan nyawa kedua-dua ibu dan bayi yang di kandung. Apa yang menariknya, risiko untuk seseorang mendapat kencing manis ketika hamil, adalah bukan sahaja terhad kepada ibu yang memang ada risiko asal kencing manis, tetapi semua para ibu berisiko mendapat kencing manis ketika hamil ini.
Sekalipun, sebelum kehamilan mereka tidak pernah ada sejarah kencing manis. Sebab itu, waktu buka Buku Merah di Klinik Kesihatan, para jururawat akan bertanya untuk pastikan tentang sejarah kencing manis sama ada diri sendiri atau pun keturunan.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan, antara faktor utama yang menyumbang ke arah mudah seseorang ibu untuk mendapat GDM ini ialah, umur yang lebih dari 25 tahun dan ke atas.
Kajian menunjukkan, faktor hormon yang berubah ketika mengandung menyumbang sebagai faktor utama ke arah mudahnya seseorang untuk mendapat sakit kencing manis atau lebih dikenali sebagai GDM dalam kalangan ibu mengandung ini.
LANGKAH WASPADA
Kencing manis adalah salah satu penyakit yang biasa di Malaysia. Jika kita biarkan ianya berlarutan tanpa sebarang rawatan dan kawalan, lama kelamaan ia akan menjadi lebih parah. Antara kesan utama ialah buta, rosak buah pinggang, strok, lumpuh dan juga kematian.
Lebih awal kita dapat tahu, diri kita ada sakit kencing manis, ia lebih baik. Mari kita sama-sama bertanya khabar ibu ayah kita di kampung supaya kita sentiasa waspada dengan perubahan kesihatan mereka agar mereka tidak mudah mendapat risiko terdedah kepada sakit kencing manis ini.
(Visited 117 times, 1 visits today)