cara rasulullah saw jaga kesihatan
Tips Sihat

7 Cara Rasulullah SAW Menjaga Kesihatan

Last updated on June 7th, 2023 at 01:42 am

Cara Rasulullah SAW Menjaga Kesihatan | Allah sangat suka akan mukmin yang kuat berbanding yang lemah. Untuk menjadi kuat, kita hendaklah menjaga kesihatan. Lihat bagaimana pesuruh Allah yang diutuskan kepada sekalian manusia akhir zaman – Rasulullah SAW – walaupun berusia separuh abad, tetapi baginda SAW tetap kuat untuk menjadi pemimpin dan panglima perang. Begitu juga dengan sahabat-sahabat baginda SAW.

Kesemuanya menunjukkan ciri-ciri tubuh badan yang sihat daripada penyakit sama ada sakit yang kronik atau sakit biasa yang selalu rakyat Malaysia ada – tiga serangkai.

Apakah rahsia cara Rasulullah SAW menjaga kesihatan baginda? Dalam artikel ini, anda akan mengetahui 8 cara Rasulullah SAW jaga kesihatan yang sangat sesuai untuk diamalkan walaupun anda masih beginner untuk mula jaga kesihatan.

1. Bangun Sebelum Subuh

Rasulullah SAW mendidik umatnya untuk bangun sebelum subuh agar dapat melaksanakan solat sunat dan solat subuh terutama secara berjemaah untuk lelaki. 

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ. ‏‏  

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan).

Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih.

Kajian menunjukkan, jika anda bangun awal sebelum matahari terbit – anda akan mudah masuk tidur lebih awal dan dapat tidur yang berkualiti untuk memberikan tubuh badan anda rehat yang mencukupi bagi kesihatan berpanjangan.

2. Rasulullah SAW Tidak Makan Berlebihan

Perut adalah punca utama kepada pelbagai masalah kesihatan. Oleh sebab itu, sebagai langkah menjaga kesihatan cara Rasulullah SAW – makan secara bersederhana.

Baginda SAW tidak pernah makan berlebihan. Prinsip pemakanan baginda SAW, ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sepotong hadis:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tiada ruang yang manusia isi yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan tulang sulbinya. Namun, jika dia tidak dapat mengelaknya, maka hendaklah dia membahagikan sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.”

Riwayat al-Tirmidzi (2380), hadis ini dinilai sebagai hadis hasan sahih.

Anda Mungkin Meminati >> Ibu, harus kuat!

3. Rasulullah SAW Makan Buah Sebelum Makan

Pakar menyatakan mengambil buah-buahan sebelum makan makanan seperti roti, nasi, mee dan lain-lain mempunyai manfaat penyerapan nutrien yang lebih baik berbanding tidak makan buah sebelum makan.

Ketika mensyarahkan sebuah hadis dalam sahih Muslim, iaitu sebuah hadis yang menceritakan ketika baginda SAW bersama Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar keluar pada waktu malam. Mereka keluar untuk mencari makan lalu sampai ke rumah Abi Haitham yang kemudiannya memberi mereka makan kurma terlebih dahulu. Menurut Imam al-Nawawi Rahimahullah:

وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ تَقْدِيمِ الْفَاكِهَةِ عَلَى الْخُبْزِ وَاللَّحْمِ وَغَيْرِهِمَا

Maksudnya: “Hadith ini sebagai dalil dianjurkannya mendahulukan makan buah-buahan sebelum memakan roti, daging dan selain daripada keduanya.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 213/13]

Dengan memakan buah sebelum makan juga memberi anda kelebihan untuk tidak makan secara berlebihan sebab anda dah kenyang dulu dengan buah. Jadi ini adalah langkah yang sangat baik untuk elak anda makan secara berlebihan yang akhirnya boleh memudaratkan kesihatan.

Anda Mungkin Meminati >> Kebaikan Buah Naga

4. Gemar Berjalan Kaki

Banyak suruhan Rasulullah SAW yang menganjurkan berjalan kaki terutama jika nak menunaikan solat di masjid. 

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Maksudnya: Sesiapa yang membersihkan dirinya (berwuduk) di rumahnya kemudian dia berjalan kaki menuju ke satu rumah dari rumah-rumah Allah untuk dia menunaikan satu kefardhuan dari kefardhuan-kefardhuan kepada Allah, maka setiap langkahnya itu salah satunya memadamkan dosa dan selangkah lagi mengangkat darjatnya. Riwayat Muslim (666)

Berjalan kaki walaupun nampak macam biasa tapi impaknya besar. Antara kelebihan jika gemar berjalan kaki setiap hari selama 30 minit ialah dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan kardiovaskular.

Anda Mungkin Meminati >> Berjalan Kaki: Kuruskan Badan

5. Rasulullah SAW Melazimi Berpuasa

Rasulullah SAW mengajar kita untuk berpuasa sunat selain di bulan Ramadhan – sekurang-kurangnya pada hari Isnin, Khamis dan juga hari tasyrik setiap bulan.

Kajian saintifik mengenai kelebihan puasa dan kesihatan sangat banyak. Malah, turut ada penemuan tentang gaya diet sihat iaitu intermittent fasting. Rahsia sihat di sebalik puasa ini telah lama diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk kita contohi.

Penyelidikan telah menemui bahawa dengan berpuasa boleh memberi impak positif kepada kesihatan dari segi tekanan darah tinggi, masalah radang dan termasuklah memberi manfaat untuk turunkan berat badan.

Anda Mungkin Meminati >> 9 Menu Idea Sahur Sihat Selain Nasi

Baginda Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-‘As, sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صِيَامُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ

Maksudnya: “Puasa yang paling dicintai olehi Allah ‘Azza wa Jalla adalah puasa Daud AS. Baginda berpuasa satu hari kemudian tidak berpuasa pada keesokannya. Sebaik-baik solat yang disukai Allah ‘Azza wa Jalla adalah solat Daud AS. Baginda tidur seperdua malam dan bagun mendirikan solat sepertiga malam lalu disambung tidur satu per enamnya.” Riwayat al-Nasa’ie (2344)

Anda Mungkin Meminati >> 7 Kebaikan Diet Intermittent Fasting Tak Ramai Tahu

6. Rasulullah SAW Tidak Suka Marah

Suka marah menyebabkan badan akan jadi senang sakit. Oleh sebab itu, dalam Islam kita di didik tentang kesihatan bukan sahaja bab pemakanan dan senaman tetapi turut di ajar untuk menjaga keseimbangan emosi.

Abu Hurairah RA meriwayatkan, sabda Rasulullah SAW:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ» فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ»

Maksudnya: Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.” Riwayat al-Bukhari

Ada 7 cara bagaimana marah boleh beri kesan kepada kesihatan iaitu memberi tekanan kepada jantung, meningkatkan risiko strok, melemahkan sistem imun, meningkatkan risiko resah, menyebabkan kemurungan, membahayakan kesihatan dan paling teruk adalah menyebabkan pendek umur!

7. Rasulullah SAW Tidak Mudah Iri Hati

Sabda Nabi Muhammad SAW:

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ

MaksudnyaHendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu. Sunan Abi Daud (4903)

Iri hati dan cemburu menambahkan tekanan dan menyebabkan rasa marah yang berkait rapat dengan beberapa penyakit. Antara risiko penyakit ialah penyakit jantung. Malah untuk jangka masa panjang, ia boleh beri kesan kepada sistem imuniti badan. Lebih teruk, ada kaitan dengan beberapa jenis kanser. Lihat bagaimana teruknya kesan iri hati kepada kesihatan. 

Anda mungkin meminati >> 5 Golongan Kerap Jatuh Sakit 

Marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan mulai hari ini. Ayuh!

One comment on “7 Cara Rasulullah SAW Menjaga Kesihatan

Leave a Reply